Apabila kita menyebut mengenai ingin berbisnes atau memulakan perniagaan, antara perkara yang menjadi keperluan ialah modal permulaan yang perlu kita keluarkan.
Mungkin ada di antara kita yang menyangka untuk membina perniagaan yang membawa pulangan besar mestilah bermula dengan modal yang besar juga. Tanggapan ini tidak benar sama sekali kerana ada juga bisnes yang anda boleh mulakan dengan modal yang rendah.
Affiliate
Affiliate ini adalah antara yang paling mudah dan kebanyakannya tidak memerlukan modal. Ya, anda berpeluang menjadi affiliate secara percuma. Walaupun ianya mudah dan percuma, jangan pandang rendah affiliate ini. Jika kena caranya boleh menghasilkan pulangan yang baik.
Program affiliate ada ditawarkan di Malaysia dan juga luar negara. Antara produk yang ditawarkan adalah seperti ebook & perisian seperti yang disediakan Raja Kamil, tiket hotel dan seminar. dan ada juga yang berbentuk produk fizikal seperti Amazon Associates dan Lazada.
Anda boleh layari laman affiliate yang disediakan untuk mendaftar sebagai affiliate dan akan disediakan link untuk tujuan promosi. Dalam siste affiliate anda boleh lihat berapa peratus atau amaun komisyen untuk produk yang ditawarkan. Penyedia affiliate mungkin turut menyediakan banner dan ayat-ayat promosi untuk kegunaan anda.
Anda boleh menggunakan laman web atau blog anda atau media sosial untuk mempromosikan link promosi yang disediakan. Saya pernah menyertai satu affiliate menjual ebook panduan untuk mudah hamil. Satu jualan dapat RM15. Dapat jual dalam 10 dapatlah RM150. Tanpa modal. Best kan?
Dropship
Dropship ini antara yang paling popular kerana kebanyakan pemilik perniagaan menggunakan sistem dropship untuk meluaskan pasaran dan meningkatkan jualan mereka. Produk yang ditawarkan kebiasaannya berbentuk fizikal seperti pakaian, produk kosmetik atau produk berkaitan kesihatan.
Cara dropship secara umumnya begini:
- Mendaftar sebagai agen dropship
- Mendapatkan maklumat produk ditawarkan
- Mengiklankan produk kepada prospek
- Memaklumkan penyedia dropship untuk menghantar produk kepada pembeli selepas mendapat tempahan atau pembayaran
Ada dropship yang percuma dan ada juga yang mungkin memerlukan sedikit bayaran pendaftaran. Sesetengah penyedia dropship juga mungkin menetapkan target jualan untuk anda mengekalkan status sebagai dropshipper atau untuk melayakkan anda menerima insentif tertentu.
Ejen
Bisnes ejen membolehkan anda memberi khidmat sebagai orang tengah di antara produk yang ditawarkan dengan prospek pembeli. Untuk menjadi ejen anda perlu menyertai syarikat atau firma tertentu berdasarkan produk yang ditawarkan. Selain itu, mungkin anda perlu menghadiri kursus dan memperoleh kelayakan tertentu serta mengeluarkan sejumlah amaun sebagai bayaran permulaan dan komitmen.
Antara bidang perejenan yang anda boleh ceburi ialah:
- Ejen kenderaan – Boleh bertanya lebih lanjut di mana-mana syarikat yang terlibat dengan penjualan kenderaan dan yang membuka peluang kepada ejen jualan.
- Ejen hartanah – Anda boleh bermula sebagai perunding hartanah dengan menghadiri Kursus Persijilan Hartanah yang diperakui Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah & Pengurus Harta kemudian menyertai mana-mana firma agensi hartanah. Yuran penyertaan bergantung kepada agensi. Komisyen bergantung kepada kejayaan penjualan & penyewaan hartanah. Anda boleh lihat maklumat lanjut dan memohon menjadi perunding hartanah melalui laman AlamHarta.my Career Opportunities ini.
- Ejen insurans – Anda perlu bermula dengan menghadiri ujian seperti
Pre Contract Examination for Insurance Agent (PCEIA) atau Takaful Basic Examination (TBE) sebelum boleh mendaftar sebagai seorang ejen. Anda perlu tahu produk syarikat yang ingin anda jual dan agensi yang ingin anda sertai. Pendapatan anda akan berkembang apabila lebih banyak pelanggan mendaftar dan mencarum insurans melalui anda. Ada pelbagai jenis insurans seperti insurans hayat, kesihatan, kenderaan dan sebagainya. - Ejen penapis air – Anda boleh ke cawangan syarikat penapis air yang membuka peluang kepada ejen seperti Coway dan Cuckoo dan boleh bermula selepas mendaftar dan mendapat bahan-bahan promosi. Mungkin memerlukan yuran pendaftaran. Dengan keperluan pengguna untuk air bersih di kediaman dan tempat kerja, menjual penapis air juga boleh menjadi satu pilihan bisnes yang baik.
Hasil Datang Dari Usaha
Kurang modal berniaga tidak semestinya bermakna dunia perniagaan bukan untuk anda. Malahan peniaga yang berjaya ialah mereka yang mampu menggandakan modal yang kecil kepada pulangan yang besar. Apa yang mesti anda ada ialah minat dalam bidang perniagaan yang anda ceburi dan usaha yang gigih tanpa mengenal penat lelah.
Jangan sesekali lemahkan diri anda dengan pelbagai alasan. Pada hari ini pelbagai peluang telah terbuka untuk anda menceburi pelbagai bidang perniagaan justeru ayuh kita ambil peluang ini untuk mula meneroka jalan kejayaan dan mengubah hidup menjadi lebih baik dengan berniaga.
Hasil luar biasa datang dari usaha yang luar biasa!