Teknologi hari ini dimeriahkan lagi dengan bertambahnya minat kepada teknologi Artificial Intelligence atau AI. AI ini bolehlah ditakrifkan sebagai simulasi intelek manusia yang diproses oleh mesin termasuklah sistem perkomputeran yang ada pada hari ini.
Hari ini terdapat banyak penyedia di Internet yang menawarkan sistem yang menggunakan teknologi AI di atas talian. Harga langganan yang ditawarkan pula ada pelbagai bergantung kepada servis dan had penggunaan yang ditawarkan.
Antara sistem AI yang mendapat perhatian ramai ialah ChatGPT yang membolehkan kita bertanya apa sahaja soalan termasuklah sekiranya kita ingin sistem ini menghasilkan kandungan artikel dan juga dalam bentuk pantun atau puisi dalam tajuk tertentu untuk kita. Namun ketika artikel ini ditulis, had maklumat sistem ini terhad kepada maklumat pada tahun 2021 justeru sebarang jawapan akan berpandukan maklumat sehingga tempoh tersebut.
Pemasaran Artikel
Salah satu kaedah pemasaran yang boleh menggunakan teknologi AI dengan baik ialah kaedah pemasaran artikel (article marketing). Ini adalah kerana artikel bersandarkan kaedah bacaan yang digunakan media berabad lamanya untuk menyampaikan maklumat, lebih mudah diubahsuai dan lebih pantas untuk dihasilkan. Ada pelbagai sistem yang boleh digunakan untuk penghasilan artikel menggunakan teknologi AI seperti AI-Writer, Jasper & Rytr.
Artikel yang dihasilkan dari teknologi AI ini pula boleh dicantikkan lagi tatabahasa dan pemilihan perkataannya menggunakan teknologi AI yang lain seperti QuillBot dan Grammarly. Maka artikel yang dihasilkan bukan sahaja unik dari sisi pandang keaslian kandungannya, malah menarik untuk dibaca oleh prospek pemasaran dan pembaca artikel kita.
Penghasilan Imej & Video
Apa yang lebih menarik mengenai penggunaan teknologi AI ini ialah ia juga boleh membantu dalam menghasilkan imej dan video berdasarkan kata kunci dan isi kandungan yang dimasukkan oleh pengguna.
Kini ada pelbagai servis yang ditawarkan untuk menghasilkan imej menggunakan teknologi AI seperti Hotpot, DeepAI, dan Stable Diffusion yang kini boleh digunakan sekiranya anda menggunakan Canva melalui fungsi Text-to-Image.
Selain itu, anda juga boleh menghasikan video pemasaran sendiri menggunakan teknologi AI yang ditawarkan oleh servis atas talian seperti Synthesia, Steve AI & Elai.io. Imej dan video yang dihasilkan adalah unik dari idea anda sendiri yang dimasukkan sebagai panduan kepada sistem untuk menghasilkan imej dan video yang diinginkan.
Masih Perlu Sentuhan Manusia
Walaupun teknologi AI ini boleh menggantikan manusia dalam beberapa tugasan, namun realitinya sentuhan manusia masih diperlukan. Ini adalah kerana hasil dari sistem masih memerlukan panduan dan kriteria yang dimasukkan oleh manusia selaku pengguna. Ada sesetengah perkataan, imej ataupun video masih memerlukan pengubahsuaian untuk memastikan mesej yang ingin disampaikan itu dapat dihasikan.
Justeru, kita tidak boleh bergantung 100% kepada teknologi AI dalam menyedia dan menjalankan pemasaran. Mesti ada juga bahagian yang mesti kita hasilkan dan ubahsuai menggunakan pengetahuan, pengalaman dan intelek kita sendiri.
Semoga teknologi akan terus berkembang pesat seiring dengan kemajuan zaman agar keperluan perniagaan kita dapat dipenuhi dengan lebih cekap, sistematik dan berkesan.