Pada hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana kebanyakan aktiviti ekonomi & sosial akan dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Perdana Menteri sebelum ini telahpun menyeru masyarakat agar membiasakan diri dengan norma atau kebiasaan hidup yang baharu. Ini termasuklah amalan penjarakan sosial dan pembelian secara online.
Justeru adalah menjadi satu kemestian untuk kita memastikan perniagaan yang kita jalankan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Sejarah telah menyaksikan kejatuhan banyak perniagaan yang gagal menyesuaikan diri seiring dengan perubahan semasa.
Memperkukuh Pemasaran Online
Pemasaran online telah menjadi satu elemen yang penting untuk bertahun-tahun lamanya. Dengan kemunculan pandemik COVID-19 yang menyebabkan negara-negara di dunia menguatkuasakan perintah berkurung dan seumpamanya, pemasaran online ini menjadi lebih penting dari sebelumnya.
Kita mesti memperkukuh elemen ini melalui peningkatan kemahiran perniagaan menggunakan media sosial, aplikasi mudah alih dan juga laman web. Dengan adanya servis pembangunan laman muka dan juga laman web yang ditawarkan ramai pihak, anda hanya perlu menyediakan konsep dan kos untuk platform pemasaran online anda diwujudkan.
Selain pemasaran, anda juga perlu mengambilkira platform penyediaan servis seperti platform penghantaran barangan yang digunakan jika anda menjalankan perniagaan barangan fizikal (PosLaju, J&T, dsb.) & platform perkongsian sekiranya anda menjalankan perniagaan berasaskan perkongsian pengetahuan.
Memanfaatkan Persidangan Maya
Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan dan penerimaan masyarakat terhadap kepentingan penjarakan sosial telah menyebabkan platform persidangan maya mula mendapat tempat di hati para pengguna.
Dengan adanya pelbagai pilihan untuk persidangan maya seperti Zoom, Goole Meet, Microsoft Teams & sebagainya, kita kini boleh mengadakan pertemuan dan perbincangan perniagaan di mana sahaja kita berada. Hal ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malah dapat mempercepatkan proses membuat keputusan untuk perniagaan.
Setiap platform ada kekuatan dan kelemahan masing-masing dan apa yang penting ialah memilih platform yang sesuai dengan keperluan perniagaan.
Menambah Ilmu Melalui Perkongsian Online
Penjarakan sosial bukan sahaja mengubah cara kita berinteraksi, malah memberi kesan kepada penganjuran aktiviti-aktiviti perkongsian ilmu perniagaan.
Jika sebelum ini forum, kursus dan kelas-kelas perniagaan diadakan di pusat-pusat latihan dan dewan-dewan seminar; kini perkongsian ilmu perniagaan dilakukan melalui sesi Live dan webinar melalui platform persidangan maya. Hal ini membolehkan perkongsian perniagaan dapat ditawarkan dengan lebih murah dan mudah kerana kos menyediakan perkongsian online adalah lebih rendah dari persediaan kursus secara fizikal dan tidak memerlukan pergerakan ke tempat pembelajaran.
Justeru ini adalah satu peluang yang baik untuk kita menambah ilmu pengetahuan dalam perniagaan yang kita ceburi sebanyak mungkin.
Norma Baharu
Kita perlu segera menyesuaikan diri di dalam norma baharu ini; sekurang-kurangnya sehingga vaksin untuk COVID-19 ditemui dan sedia digunakan oleh masyarakat. Keengganan berbuat demikian boleh memberi kesan kepada perniagaan kita untuk jangkamasa yang panjang.
Bersedia dengan perancangan perniagaan yang berasaskan penjarakan sosial di mana kontak secara fizikal adalah minimum dan pengurusan perniagaan yang dapat dilakukan tanpa banyak pergerakan keluar dari rumah atau pejabat.
Marilah bersama mengapdatasi perniagaan kita dan menggalakkan rakan niaga dan juga pelanggan-pelanggan kita untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu demi memerangi dan menghapuskan pandemik ini.