Beberapa minggu sebelum bermulanya Ramadhan saya dilawati seorang sahabat saya. Bersahabat sejak sekolah menengah. Sekian lama tak berjumpa, banyak perkara yang kami bualkan termasuklah kenangan-kenangan ketika di sekolah menengah, politik, ilmu hadis dan pengalaman masing-masing. Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana sahabat saya ini begitu istiqamah di dalam bisnes yang dijalankannya.
Istiqamah di dalam konteks ini boleh saya takrifkan dengan “konsisten dan teguh dalam melakukan sesuatu perkara”.
Dari Bisnes MLM ke Pengurusan
Berbalik kepada kisah sahabat saya ini – bermula dari berjinak-jinak dengan beberapa bisnes MLM sehingga menjadi ahli eksklusif dan menjana puluhan ribu ringgit sepanjang kariernya bersama MLM sehinggalah syarikat tersebut “mengalami masalah”, kemudian menyertai syarikat yang memiliki tadika sehingga menjadi pengetua di salah sebuah tadika milik syarikat tersebut. Ketika itu sahabat saya ini seolah-olah bekerja 7 hari seminggu dan hal itu bukanlah sesuatu yang mampu dipikul kudratnya. Walaupun disayangi majikan, akhirnya keputusan yang diambil ialah mencari kerja yang lain.
Bisnes T-Shirt Dakwah
Baru bekerja seminggu di pejabat, hati sudah tidak tenteram kerana “tak masuk” dengan jiwanya. Lantas berhenti kerja dan memulakan bisnes T-Shirt yang berunsurkan dakwah dan mesej-mesej Islamik. Berbekalkan ilmu design abangnya, sahabat saya ini memulakan operasi bisnes bersama abang dan kakaknya. Seperti kebanyakan bisnes yang lain, bulan-bulan pertama sememangnya agak memeritkan. Tiada sales, tak cukup modal pusingan dan sebagainya – tetap diharungi atas keyakinan bisnes tersebut boleh berjaya.
Ketika kami berbual, sahabat saya ini menunjukkan template mesej yang digunakan untuk membalas mesej-mesej pelanggan dan ejen-ejen jualan. Ternyata kesungguhan & keberkatan membuahkan hasil. Kini hampir setiap hari ada jualan. T-Shirt pula dicetak sendiri justeru menjimatkan kos dan menjamin kualiti produk. Saya memang tabik sahabat saya yang ini.
Pendek kata, biar apa pun yang terjadi mesti istiqamah dan tetap berusaha sehingga bisnes anda berjaya.
Kisah Perbandingan
Untuk mengimbangkan point saya di dalam artikel ini, ada juga kisah seorang sahabat saya yang lain – yang turut mempunyai minat mendalam dalam perniagaan. Malah dialah yang banyak membawa saya dan kawan-kawan lain dalam ilmu pelaburan & perniagaan. Memang tidak dapat saya nafikan jasanya yang besar itu. Namun ada sedikit kesilapan yang membawa musibah dalam perancangannya. Terlalu berada di dalam comfort zone, gemar melompat dari satu bisnes ke bisnes yang lain, bersikap “tak apa” dalam keputusan-keputusan penting dan terlalu yakin yang apa saja dirancang pasti berjaya akhirnya menyebabkan tiada perancangan yang berjaya. Lesap begitu sahaja dan saya sendiri tidak tahu apa yang terjadi kepada sahabat saya ini. Semoga dapat menyedari kesilapan dan bangkit kembali InsyaAllah.
Pengajaran
Pengajaran utama yang meresap ke sanubari saya dari kisah-kisah ini ialah: istiqamah dalam bisnes yang anda lakukan. Buat sampai berjaya kerana cabaran dan kesusahan itu pasti akan hadir dalam perjalanan bisnes kita. Jangan cepat mengalah dan down hanya kerana masalah-masalah remeh dan sentiasa bersikap positif dan logik kerana dengan adanya semangat yang tinggi dan konsisten, kejayaan sentiasa menanti untuk menjadi kita!
3 Comments
ya tepat sekali. perlu istiqamah. baru kejayaan tu hadir. insyaAllah.
Istiqamah antara perkara yang susah hendak di lakukan secara berterusan, apa-apa pun ianya perlu di pupuk dari awal-awal lagi
Istiqamah ni memang sukar. Saya baru berjinak-jinak dalam dunai bisnes online ni dan memang sukar mengekalkan momentum. Kadang-kadang semangat.. kadang-kadang pula lemau. Ada tips tak tuan?