Hari ini ramai yang mula menceburkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan. Ditambah pula dengan wujudnya teknologi atas talian terkini di mana pelbagai urusan bisnes boleh dilakukan dari mana-mana tempat yang memiliki capaian Internet. Tapi mungkin ada di antara kita yang berbisnes masih tercari-cari apa tujuan kita melakukannya. Adakah ia demi wang ataupun minat kita pada bidang perniagaan tersebut?
Bisnes Demi Wang
Benar wang adalah satu keperluan untuk meneruskan kehidupan. Wang juga adalah nadi kepada perniagaan. Oleh sebab itu memahami aliran wang tunai (cash flow) menjadi satu elemen yang penting dalam memastikan bisnes kita terus hidup. Wang ini menjadi kayu pengukur kepada tahap dan nilai sesuatu bisnes. Ada yang menceburi perniagaan demi kekayaan di mana ia boleh dicapai lebih cepat dan lebih banyak dari memperolehi gaji tetap. Ada yang menjalankan perniagaan untuk menambah pendapatan dan ada yang berbisnes kerana itu sahaja pilihan yang ada.
Mungkin anda pernah melihat entiti bisnes yang sekadar menjadi platform wang. Apabila kerugian atau menghadapi masalah akan terus gulung tikar. Ada juga bisnes yang ditutup untuk membuka ruang kepada bisnes yang baru.
Passion/Obsesi
Bisnes ini perlukan passion. Saya tercari-cari juga apakah perkataan yang sesuai untuk mendefinisikan maksud perkataan “passion” dari bahasa Inggeris. Terjemahan terus memberi perkataan “semangat” dan ada juga definisi yang menyebut “keghairahan” dan “obsesi”. Makna di sini ialah kita menjalankan satu bisnes yang benar-benar kita minat secara mendalam. Sesuatu yang kita sanggup lakukan setiap hari di dalam hidup kita. Sesuatu yang kita sanggup lakukan dalam keadaan senang mahupun susah.
Passion ini penting untuk anda berbisnes kerana:
- Ia memastikan anda terus bergerak walaupun ketika saat-saat sukar;
- Ia membantu anda menghadapai kegagalan;
- Ia memberi tenaga kepada anda ketika dirundung kekecewaan; dan
- Ia membantu anda membina pasukan bisnes yang hebat.
Wang atau Minat?
Kedua-duanya. Kita perlukan wang untuk hidup dan menikmati kehidupan. Dan ianya boleh dicapai melalui bisnes. Wang juga menjadi nadi dan kayu ukur kepada perjalanan bisnes itu sendiri.
Untuk menjayakan bisnes itu kita perlukan minat yang mendalam terhadap apa yang kita lakukan itu. Justeru kita akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa walaupun apa yang diperkatakan orang kepada kita.
Pada saya perlu ada kedua-dua elemen ini untuk kita memastikan bisnes kita stabil, terus hidup dan berjalan sehingga boleh diwarisi oleh generasi seterusnya.