Menjadi satu kemahuan setiap pemilik perniagaan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing. Namun sudah pastinya usaha ini memerlukan modal termasuklah modal kewangan.
Pinjaman & Geran Perniagaan
Mungkin ada yang masih tertanya-tanya beza pinjaman dan geran perniagaan.
Pinjaman perniagaan adalah pinjaman yang diambil sebagai bantuan kewangan untuk kos-kos operasi dan mengembangkan perniagaan. Pinjaman adalah hutang dan mesti dibayar semula mengikut terma pinjaman yang telah dipersetujui.
Geran perniagaan pula adalah dana yang diberikan terus kepada pemilik perniagaan dan tidak perlu dibayar semula. Geran perniagaan ini disediakan oleh pelbagai institusi terutamanya jabatan, yayasan atau perbadanan berkaitan kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan kewangan kepada para peniaga seiring dengan polisi kerajaan semasa.
Geran Perniagaan dari SME Corp Malaysia
Kini semuanya terletak di hujung jari. Geran perniagaan yang tersedia boleh dicari melalui pelbagai portal dan laman web kementerian atau jabatan berkaitan. Salah satunya ialah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia).
SME Corp. Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang menyelaras pelaksanaan program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merentasi kesemua Kementerian dan agensi yang berkaitan.
Antara program dan geran yang ditawarkan ialah:
- Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)
- Geran Permulaan Perniagaan (Belia Bumiputera)
- Inclusive SME Ecosystem (I-see)
- Geran (Perusahaan Mikro dan B40 yang mempunyai elemen inclusive)
- Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizMe)
- Micro Connector Geran (Perusahaan Mikro dan B40)
Layari laman web Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia untuk melihat dengan lebih lanjut geran dan program yang ditawarkan.
Semoga dengan adanya tawaran sebegini akan dapat membantu lebih banyak para pemilik perniagaan terutamanya perniagaan kecil dan sederhana untuk terus maju dan berdaya saing seiring dengan perkembangan ekonomi negara.