Saya tertarik dengan nukilan saudara Zahrul Azua di Majalah Niaga mengenai penyalahgunaan senjata jualan yang menjadi satu penganiayaan terhadap pengguna. Saya dapat memahami perasaan ini kerana saya juga pernah merasai betapa kecewanya saya apabila produk yang telah dibeli tidak seperti yang diwar-warkan ayat jualan.
Teruja dengan pulangan lumayan dari affiliate & sumber pendapatan online, membuatkan saya ghairah untuk mencari produk untuk membimbing dan membantu saya mencapai pendapatan yang diidamkan. Namun akhirnya saya hampa kerana produk yang telah saya beli itu tidak segah ayat-ayat jualannya.
Ayat-ayat jualan seperti buat USD300,000 dalam masa 3 jam, buat duit semudah menekan butang dan sebagainya ternyata berjaya menarik minat mereka yang mencari-cari panduan buat duit online seperti saya. Tidak dinafikan kejayaan itu datangnya dari usaha kita sendiri namun ayat-ayat jualan yang digunakan berjaya mengelabui mata kita yang pada mulanya terpesona dan akhirnya terpedaya dengan kalimah yang gempak lagi manis dari surat jualan produk tersebut.
Kitaran Yang Tidak Berakhir
Saya melihat satu corak pemasaran biasa bagi produk-produk digital “buat duit” khususnya dari luar negara di mana produk itu akan dilancarkan dan dibuka untuk dipasarkan oleh affiliate. Affiliate akan membuat promosi besar-besaran dengan laman web/landing page khusus dan sebagainya. Pembeli yang tertarik akan membuat pembayaran dan ditawarkan One Time Offer (OTO) dan boleh pula menjadi affiliate untuk menjual produk tersebut kepada mereka yang lain dengan istilah rebranding dan sebagainya. Setelah pembeli sudah cukup banyak, produk tersebut akan dikitar semula dengan nama dan design lain dan ayat-ayat jualan baru pun direka bersama video pemasaran yang baru. Hal ini menyebabkan kitaran yang tidak akan berakhir (never ending cycle).
Memang ada kebenarannya apa yang dinyatakan Hesham Zebida di dalam artikel “The Joke of Making Money Online Systems Fast and Easy” di mana membuat duit hanyalah semudah menekan satu butang adalah tidak masuk akal sama sekali. Ini adalah kerana dalam membina empayar perniagaan khususnya di Internet, membina autoriti dan keyakinan prospek adalah elemen yang utama – dan hal ini bukanlah sesuatu yang boleh dijayakan dalam sekelip mata. Realitinya mereka yang benar-benar “buat duit” dari produk ini adalah pengeluar produk itu sendiri!
Serik
Pengalaman bergelumang dan menghabiskan modal untuk membeli produk-produk digital yang indah pemasaran dari rupa sebenarnya membuatkan saya serik untuk mengambil perhatian apatah lagi mengeluarkan wang lagi untuk produk seperti ini. Malah melihat ayat jualan saja sudah merasa “tertipu”. Lalu saya mengambil keputusan untuk menumpukan minat saya ke dalam content writing. Saya tidak lagi ada keyakinan terhadap apa-apa tips & tricks atau software yang pelik-pelik tetapi menumpukan kepada penyampaian mesej pemasaran dan informasi melalui artikel (Article Marketing). Logiknya ada jika diperhatikan kepada kejayaan Darren Rowse menghasilkan pendapatan lumayan dari affiliate dan bukunya ProBlogger’s Guide to your First Week of Blogging tanpa ada ayat-ayat jualan yang melampau!
Perlunya Akan Kejujuran
Tidak dinafikan memang ada produk-produk digital yang benar-benar berkualiti dan bertepatan dengan ayat jualannya malah ada yang mampu menghasilkan keuntungan. Sememangnya wujud plugin/software/theme/ebook yang sememangnya membantu dalam memberi hasil yang dijanjikan. Namun bagi mereka yang serik pasti sukar untuk membuat keputusan walaupun dibentangkan dengan pelbagai testimoni mengenai produk yang dijual. Dalam hal ini kejujuran ayat-ayat jualan adalah tersangat penting kerana prospek yang ada hari ini lain corak emosinya. Sekali terasa dipermainkan, pasti berbekas luka di hati.
Berlaku jujurlah. Jika produk tersebut mampu memberikan A, katakan A dan jangan sesekali memberikan harapan yang menggunung tinggi dan tidak masuk akal. Hal ini bukan sahaja merugikan para pengguna, malah merugikan penjual-penjual dan penyedia produk yang benar-benar ikhlas dalam menyediakan produk yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan. Buat para pengguna dan bakal pembeli, buatlah pilihan yang bijak dengan menyelidik dahulu produk-produk yang ingin anda beli melalui forum-forum atau membaca pengalaman pengguna yang terlibat dan bukan sekadar melayan ayat-ayat jualan yang sememangnya manis!
1 Comment
Salam,,
setuju,,
sebab itu saya juga kurang minat beli e-book
pelbagai cara cepat kaya ,,dll,,
kalau promosi barang saya lebih suka letak
ayat jika suka beli,,
ok ker ??? ,,terserah,,elak paksa beli,,
Sekian,,
Terimakasih,,,info bagus anda,,,