Dalam melayari era digital yang serba pantas ini, harus kita sedari bahawa nilai dan keutamaan pengguna juga semakin berubah.
Berbanding beberapa dekad lalu di mana pencapaian hidup sering kali diukur berdasarkan harta benda seperti pemilikan hartanah atau kereta, kini fokusnya lebih kepada kesihatan mental, pengalaman hidup bermakna dan keseimbangan hidup. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia pemasaran terutama pemasaran atas talian, saya melihat sendiri bagaimana perubahan ini mempengaruhi pendekatan ynag digunakan dalam menyampaikan mesej kepada pengguna.
Mengapa Nilai Pengguna Berubah?
Generasi moden terutamanya generasi milenial (lahir antara tahun 1981-1996) dan Gen Z (lahir antara tahun 1997-2012), cenderung menghargai pengalaman peribadi berbanding pencapaian materialistik. Bagi mereka, bercuti ke destinasi yang unik, melibatkan diri dalam aktiviti sosial, atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga lebih bernilai berbanding memiliki aset besar. Tambahan pula, perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental telah memberi impak yang besar terhadap keutamaan hidup generasi ini.
Ketika saya memulakan kempen pemasaran untuk sebuah produk gaya hidup beberapa tahun lalu, saya menyedari bahawa pendekatan tradisional seperti menekankan “status” pemilik produk itu kurang mendapat sambutan. Pengguna nampaknya lebih tertarik apabila saya lebih banyak berkongsi tentang bagaimana produk itu boleh membantu mereka mencapai keseimbangan hidup atau menyokong usaha mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Cara Perniagaan Boleh Menyesuaikan Mesej Pemasaran
Bagi perniagaan yang ingin kekal relevan, memahami perubahan nilai ini adalah kunci kejayaan. Berikut adalah beberapa strategi yang boleh digunakan untuk menyesuaikan mesej pemasaran dengan nilai pengguna moden:
Strategi 1: Tumpukan “Cerita” Berbanding “Produk”
Pelanggan hari ini tidak mahu hanya membeli produk; mereka mahu menjadi sebahagian daripada cerita yang hebat itu.
Contohnya anda jual pakaian.. jangan hanya menonjolkan reka bentuk atau harga. Ceritakan dan kongsikan bagaimana telitinya pakaian itu dihasilkan untuk menjaga kualitinya atau terserlahnya keterampilan apabila baju itu dipakai.
Strategi 2: Penekanan Kesejahteraan Diri & Keseimbangan Hidup
Dalam pemasaran produk atau perkhidmatan, bagi penekanan bagaimana ia menyokong kesejahteraan hidup pengguna. Fokuskan kepada nilai tambah yang ditawarkan, seperti membantu pengguna mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan, meningkatkan kesihatan mental dan fizikal, atau memberikan pengalaman yang menyenangkan dan bermakna.
Strategi ini bukan sahaja menarik minat pengguna, tetapi juga membina hubungan emosi yang mendalam dengan jenama, menjadikan produk atau perkhidmatan lebih relevan dengan keperluan mereka yang ingin menjalani kehidupan yang lebih harmoni dan seimbang
Strategi 3: Gunakan Bahasa Menyentuh Emosi
Bahasa pemasaran anda perlu selari dengan nilai yang dihargai pengguna. Ungkapan seperti “Jadikan setiap hari bermakna” atau “Hidupkan memori indah dengan cinta” boleh mencetuskan perasaan yang mendalam. Saya sendiri pernah mencuba pendekatan ini untuk kempen produk penjagaan diri, dan ia mendapat sambutan yang sangat positif.
Strategi 4: Libatkan Influencer yang Berkongsi Nilai Sama
Kerjasama dengan influencer yang mempunyai nilai yang sama dengan jenama anda boleh memberikan impak besar. Influencer ini bukan sahaja mempromosikan produk anda tetapi juga menunjukkan bagaimana ia boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang bermakna.
Cabaran & Peluang
Salah satu cabaran terbesar yang mungkin akan anda hadapi ialah memastikan mesej yang disampaikan itu nampak tulen dan bukan sekadar strategi pemasaran. Pengguna hari ini sangat sensitif terhadap mesej pemasaran yang kelihatan “memaksa” atau jadi-jadian. Oleh itu, penting untuk benar-benar memahami nilai dan keperluan target pasaran anda sebelum merangka kempen.
Peluang yang tersedia juga sangat besar. Selaraskan mesej pemasaran kepada keutamaan hidup pengguna yang anda cari. Cara ini dapat menarik perhatian dan boleh bina hubungan yang berpanjangan dengan pelanggan.
Ingin Kekal Relevan
Pemasaran berasaskan tahap kehidupan bukan lagi pilihan tetapi keperluan bagi perniagaan yang ingin kekal relevan dalam dunia hari ini. Dengan memahami apa yang benar-benar dihargai oleh pengguna moden dan menyesuaikan mesej pemasaran anda dengan nilai-nilai ini, anda bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan kempen anda tetapi juga membantu pengguna mencapai kehidupan yang lebih bermakna.
Sebagai seorang yang telah mencuba pendekatan ini, saya dapat katakan bahawa usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada kempen pemasaran tetapi juga kepada diri saya sendiri. Ia mengajar saya untuk melihat dunia melalui perspektif pelanggan, dan pada saya – itu adalah kunci kepada kejayaan pemasaran pada masa kini.