Seperti yang kita sedia maklum dan telah beberapa kali saya kongsikan di dalam blog ini ialah betapa pentingnya perancangan yang berkesan dan sistematik dalam menjayakan perniagaan yang kita ceburi. Saya terjumpa satu Facebook Notes yang dinukilkan oleh sahabat saya Hamizi Hamdan.
Perancangan yang baik perlu mempunyai 5M untuk dipertimbangkan iaitu:
- Manpower
- Machineries
- Materials
- Money
- Methodology
Manpower (Tenaga Kerja)
Kenal pasti siapa tenaga kerja untuk perniagaan anda. Siapakah yang akan menggerakkan perniagaan itu? Adakah anda menjalankannya berseorangan atau dibantu oleh rakan perniagaan atau staf-staf sokongan? Apakah posisi + fungsi anda dan mereka yang terlibat di dalam perniagaan tersebut? Apakah kapasiti dan liabiliti tenaga kerja yang terlibat?
Dengan memahami tenaga kerja perniagaan anda, anda boleh memahami bagaimana untuk menggerakkan perniagaan anda kerana setiap tenaga kerja yang terlibat mestilah ada fungsinya dan kepentingan kepada perniagaan.
Machineries (Jentera)
Apakah jentera yang anda gunakan untuk perniagaan anda? Jika anda menjalankan perniagaan online, anda mungkin memerlukan (contoh):
- Sebuah komputer/laptop
- Smartphone (yang boleh guna WhatsApp/dsb)
- Sambungan Internet (Unifi/Broadband/dsb)
- Motor/Kereta untuk membawa barangan ke pejabat pos/Cash on Delivery)
Kenal pasti apakah medium yang anda gunakan untuk perniagaan anda dan jelaskan bagaimana anda menggunakan jentera tersebut sepenuhnya untuk perniagaan anda.
Materials (Bahan)
Perniagaan memerlukan bahan untuk menghasilkan wang untuk perniagaan anda. Dengan erti kata lain, apakah produk perniagaan anda? Bagaimanakah anda mendapatkan/menghasilkan bahan tersebut?
Perincikan bahan tersebut. Jika ianya berkisar bahan kosmetik, maka perincikan – krim pencuci muka, sabun mandian dan sebagainya. Jika ianya berkisar pakaian, perincikan – baju kanak-kanak, baju kurung wanita, tudung dan sebagainya. Begitu juga dengan bisnes yang menawarkan servis seperti perunding/agensi hartanah (menguruskan jual beli hartanah untuk pelanggan), perekabentuk grafik (merekabentuk halaman rumah/merekabentuk kad bisnes/jemputan kahwin) dan sebagainya.
Dengan mengenalpasti apakah bahan atau produk yang anda jual dan tawarkan kepada pelanggan, anda boleh mengenalpasti proses-proses yang berkaitan dengan perniagaan dan bagaimana rangkaian bisnes (business network) yang perlu anda kuasai untuk menjayakan perniagaan anda.
Money (Wang)
Ya – tujuan perniagaan adalah untuk menghasilkan wang. Namun semak kembali pusaran wang yang terlibat di dalam perniagaan anda. Berapakah wang atau modal (capital) yang anda perlukan untuk perniagaan anda? Berapakah hasil (revenue) yang boleh anda perolehi dari jumlah modal tersebut? Berapakah margin keuntungan dari modal dan hasil tersebut? Berapakah wang yang keluar dan masuk ke dalam perniagaan anda?
Hal ini memerlukan rekod yang sistematik di mana setiap sen yang keluar dan masuk perlulah direkodkan – untuk apa ia keluar dan masuk dan di mana wang itu disimpan. Saya cadangkan anda membuka akaun semasa (current account) untuk anda yang belum melakukannya. Tidak susah untuk membuka akaun semasa hari ini. Ini adalah kerana akaun semasa dapat membezakan wang perniagaan dan wang peribadi anda seterusnya memudahkan anda membuat rekod dengan seistematik dan berkesan.
Methodology (Cara Kerja)
Seterusnya – bagaimanakah anda menggerakkan perniagaan tersebut? Apakah strategi anda? Dalam perjalanan perniagaan anda dalam seharian, bagaimanakah aliran (flow) yang akan dihadapi oleh anda/staf dan pelanggan? Anda pasti pernah melihat aliran kemasukan pesakit di hospital. Aliran yang saya maksudkan ini menggunakan konsep yang sama.
Katakan situasi A berlaku, apakah langkah atau template yang akan anda gunakan? Contohnya (secara ringkas):
Pelanggan menelefon bertanyakan produk —> “Baik tuan, harganya RM_______” Kalau tuan berminat, __________”
- Pelanggan berminat untuk membeli: Terangkan proses pembayaran —> Keluarkan invois —> Terima pembayaran —> Hantar produk —> Maklumkan tracking no.
- Pelanggan tidak berminat: Ucapkan terima kasih + bersedia untuk dihubungi lagi —> Simpan nombor pelanggan untuk database dan follow up
Dalam erti kata lain, sekiranya mana-mana situasi berlaku, anda/staf anda sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Contoh di atas ini hanyalah contoh yang ringkas. Apabila sampai satu tahap di mana semua tenaga kerja perniagaan anda tahu apa yang perlu dilakukan dalam mana-mana situasi yang melibatkan perniagaan, urusan dapat dilakukan dengan mudah dan kesilapan dapat dielakkan.
Rancanglah perniagaan anda dengan teliti dan pastikan anda ada cara kerja yang sistematik untuk memastikan anda beroleh kejayaan di dalam perniagaan yang dijalankan =)
4 Comments
Alhamdulillah. terima kasih untuk perkongsian ilmu yang bermanfaat ini.
Terima kasih atas perkongsian abam Nasrul
Pingback: bagaimana membuka akaun perniagaan | senarai bisnes online
5M ni bukan setakat untuk perniagaan, juga digunakan untuk membuat brainstorming analysis. Memang serbaguna dan bermanafaat.